JUN 2022

Sarawak Komited Peralihan Ke Arah Karbon Rendah, Beri Tumpuan Pada Tenaga Mampan


KHAMIS, 23 JUN 2022

KUCHING: Sarawak komited dalam peralihan ke arah karbon rendah menerusi tenaga lestari dan boleh diperbaharui.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak mempunyai peluang yang tinggi dalam peralihan yang menfokuskan kepada tenaga yang mampan.

“Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil peluang dalam pertumbuhan baharu ini dan mewujudkan peralihan tenaga yang selamat, bertanggungjawab dan kos efektif dengan pelepasan yang rendah.

“Dengan kelulusan pindaan tanah baru-baru ini, Sarawak kini mempunyai permulaan yang baik untuk mengawal selia ‘Carbon Capture Utilisation and Storage’ (CCUS) dalam wilayah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Minyak & Gas, Perkhidmatan & Peralatan (OGSE) Sarawak Roadshow 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Khamis.

Premier Sarawak menambah, Kerajaan Sarawak turut komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus kapasiti campuran penjanaan kuasa daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2030 untuk pertumbuhan ekonomi serta aktiviti menjana pendapatan.

Dalam pada itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed memberitahu, kerajaan persekutuan melalui Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) telah memulakan Geran Pembangunan OGSE berjumlah RM25 juta dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2021 hingga 2025.

“Dana ini adalah untuk membantu pemain OGSE kita mencapai teknologi yang lebih canggih dan menggunakan bakat yang lebih berkemahiran.

“Dana tersebut akan disalurkan melalui geran yang diberikan kepada syarikat OGSE tempatan dan sehingga kini, 30 syarikat telah menerima kelulusan untuk bantuan itu dengan hampir RM7 juta diberikan setakat ini, dengan kira-kira 20 peratus untuk syarikat yang berpangkalan di Sarawak,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros), Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain dan Pengerusi Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), Dato Dr Ahmad Suhaili Idrus. -EDISI UKAS

Sumber dari : Sarawakku